HOME ABOUT QISH CONTACT ME

من كان لله كما يريد، كان الله له فوق ما يريد
Siapa keadaannya seperti apa yang Allah inginkan;
Allah ada baginya melampaui segala harapan.

Muhasabah Oleh Sang Hati.


"Bukanlah 24 jam hati ini boleh bertahan kuat. Hati ini bukan batu yang bisa selamat dengan mudahnya dari suatu kehancuran, hati ini bukan keluli yang tidak bisa terjejas dek karat, hati ini bukan juga span yang bisa menyerap dan memerah keluar bila bila masa. Hati ini lemah, tak ubah cuma seperti kaca, ibaratnya terjatuh sedikit mudah saja pecah kalau kuat hentakannya. Dan mungkin, lebih mudah musnah berbanding kaca. Hati ini tidak kalis rindu, hati ini tidak kalis kesedihan. hati ini tidak kalis kesakitan, hati ini tidak kalis dengan apa saja, baik duka mahupun suka.." - Monolog Tuan Pemilik Hati.
Hati ini lemah katanya.. Tidak jemu dijampi lemah, lemah, lemah oleh sang pemiliknya. Kerana pemiliknya alpa bahawa sebenarnya hati ini yang melengkapkan hidupnya. Kerana pemiliknya tidak bersyukur dan berfikir tentang hakikat hati yang termilikinya. Tanpa hati yang lemah ini, dia tidak akan panjang umur di atas dunia. Tanpa hati yang lemah ini juga, dia tidak akan punya sifat sempurna seorang manusia. Hakikat pedih yang hati ini simpan, dia terluka dengan tuannya sendiri. Tuannya yang tidak memandang jasanya. Tuannya yang hanya nampak kelemahannya..

Saban kali kecelakaan, hati ini tetap bertahan. Di mana lemahnya? Saban kali kelukaan, hati ini tetap bertahan. Di mana lemahnya? Saban kali ditimpa apa sahaja kesusahan, hati ini masih juga tidak lari keluar dari badan. Hati ini masih membuatkan tuannya masih hidup. Jadi di mana lemahnya hati ini seperti kata tuannya? Dalam diam, hati ini juga punya perasaan. Hati ini pun bermonolog, memberontak senyap...
"Kau tuan yang tak sedar diuntung! Kau tidak pernah menjagaku dengan elok! Kau hanya tahu menilai kelemahanku tetapi kau tidak mahu cuba untuk mengubatinya. Kau kata aku lemah, kenapa kau tidak cuba menguatkan aku? Kau tak pernah siramkan aku dengan simbahan zikir memuji Tuhanmu. Kau tak pernah bajai aku dengan ayat-ayat dari Tuhanmu yang bisa memupuk aku. Kau tak pernah belai diriku dengan patuh bersujud kepada Tuhanmu.. Semakin hari, aku semakin sakit, lebam dan penuh bintik kehitaman kerana perilakumu. Adakah ini semua salah aku? Semakin hari, aku semakin membusuk dan terjejas. Apakah aku sendiri yang tergamak memudaratkan diri aku? Apakah itu salahku? Aku hatimu. Hatimu ini tinggal di tubuhmu kerana aku kepunyaanmu. Hatimu ini milik dirimu dan keadaanku bergantung kepada dirimu. Kenapa kau tidak menjalankan tanggungjawabmu? Tergamak kau mempergunakan kelemahanku. Tergamak kau menyalahkan aku atas kegagalanmu dan kau telah merosakkanku! Jangan kau lupa ini. Tanpa aku, kau takkan boleh hidup. Aku dah berjasa kepadamu. Tolonglah lakukan sesuatu yang boleh merawatku.."  - Monolog Sang Hati.
Hangat hati yang telah bermonolog panjang. Memberi muhasabah kepada tuannya. Si Tuan Pemilik Hati tersentak tidak terperi. Malu dan sedih dengan perlakuannya sendiri. Istighfar terpacul keluar dari mulut figura si pesalah itu, yakni Tuan Pemilik Hati, diiringi dengan aliran air mata yang jatuh tanpa dapat dikawalnya. Dan.. *splash* Satu simbahan dingin menerjah terus ke hati. Setompok dua bintik hitam di hati terus lenyap dan hati mula berasa teruja..
"Nyaman sungguh. Teruskan lagi! Buat lagi apa yang patut.." - kata Sang Hati.
"Astaghfirullah al azim~ Astaghfirullah al azim~ Aku termuhasabah sebentar tadi. Disedarkan oleh hati sendiri.. Hati yang berkerajaan dalam diri aku selama ini. Sungguh malunya dengan hati sendiri. Aku hidup dengan adanya hati yang melengkapi tapi aku tak pernah mensyukuri..Ya Allahu Rabbi~" - rintih Tuan Pemilik Hati.
"Demi Allah, aku beri muhasabah padamu demi kebaikan untuk dirimu dengan izin dariNya jua."  - kata Sang Hati lagi.
"Aku mahu bertaubat kepada Allah.. Aku mahu berdamping sangat dekat dan kekal di pandangan cinta Allah. Mulai saat ini, demi Allah, demi kebaikanku juga, akanku jaga dirimu dengan sebaiknya. Akan aku lakukan semua tanggungjawabku dan laksanakan kepatuhanku kepada Allah Tuhanku.." - Tuan Pemilik Hati.
"Alhamdulillahi rabbil alamin~ Terima kasih Tuan Pemilik Hati.. Terima kasih." - Syukur terucap oleh Sang Hati.
Selepas dari muhasabah oleh Sang Hati, si Tuan Pemilik Hati itu menjadi lebih dekat dan patuh dengan  Tuhannya, Allah al-Khaliq. Setiap ujian yang Allah beri, baik ujian duka mahupun ujian suka, dia hadapi dengan penuh ketenangan dan iman yang terus bercambah mekar dalam Sang Hati di tubuhnya. Namun, tidak mustahil yang dia boleh sahaja kembali ke takuk lama kehidupannya, menyeksa hatinya kembali jika dia tidak istiqamah dalam ibadah dan kepatuhannya kepada Allah. 
"Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal." - [Ali Imran 135-136]
Tuntasnya, kita manusia hamba Allah, hidup dengan fitrah sebagai hamba yang wajib patuh, sedia untuk diuji dan terus diuji selayaknya.. Jadi, marilah kita kembali ke pangkal jalan, berjalan di jalan keberkatan Allah demi kebahagiaan di atas dunia dan di akhirat kelak. Redha, tabah dan bertawakallah dengan takdir Allah. Biarlah semuanya serba pahit di atas dunia. Tetapi, semoga yang terindah, terbaik dan termanis sudah sedia menanti kita di 'sana' kelak.. In Sha Allah.
Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah dalam jasad manusia ada seketul daging, jika ia baik maka baiklah jasad itu dan jika ia rosak maka rosaklah jasad itu, itulah yang dinamakan hati.” - (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Wallahua'lam bissawab~

6:30am, 22 Mac 2013.



No comments:

Post a Comment

 

ALL RIGHT RESERVED | QISH DARLEENA 2010-2020